Sunday, February 27, 2011

Benarkah Asal Kejadian Perempuan Dari Tulang Rusuk?

Apabila kita membaca buku atau mendengar ceramah berkenaan wanita maka kebiasaan kisah lanjutannya adalah mengenai asal kejadian perempuan iaitu daripada tulang rusuk lantas mengaitkannya dengan sifat perempuan yang selalu ‘bengkok’ maka si suami hendaklah berhati-hati ‘membetulkannya’ supaya 'tidak patah' iaitu dalam memimpin dan mendidik seorang isteri agar berada di haluan yang betul.


Cerita-cerita seperti ini menunjukkan seakan manusia yang bernama perempuan ini adalah manusia kelas kedua sahaja sedangkan kedatangan Islam telah mengangkat darjat perempuan ke tahap yang sangat mulia.

Adakah kisah asal kejadian perempuan dari tulang rusuk ini benar, jom kita baca artikel berkenaan kejadian asal perempuan ini yang telahpun ditulis oleh salah seorang sahabat saya iaitu Ustaz Muhammad Hanief bin Awang Yahaya.


Perempuan Tidak Berasal Daripada Tulang Rusuk

Kita sering mendengar cerita bahawa Hawa diciptakan daripada tulang rusuk Adam. Sehingga terdapat ungkapan yang mengatakan wanita dijadikan daripada tulang rusuk supaya yang dekat dengan hati dan supaya sering didampingi serta diingati dan bermacam-macam lagi. Begitu juga, hampir semua kitab-kitab tafsir menyebutkan kisah penciptaan Hawa dan menjadi asas kepada ulama tafsir ketika menjelaskan maksud ayat pertama surah al-Nisa’. (Sila lihat Tafsir at-Tabari, Tafsir al-Baidhawi, al-Kahzin dan lain-lain)

Kenyataannya ialah tidak ada satupun ayat al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w. yang jelas menyebutkan hakikat kejadian Hawa. Al-Quran tidak menyebutkan Hawa dicipta daripada Adam tetapi manusia itu dicipta daripada jiwa yang satu. Apa yang disebutkan di dalam al-Quran ialah manusia itu diciptakan daripada jenis yang sama dengannya juga. Seorang manusia tentunya ibu bapanya manusia juga bukan makhluk yang lain.

Abu A`la al-Mawdudi menulis komentar bagi ayat pertama surah al-Nisa’ ini: “Umumnya para pentafsir al-Quran menyebutkan Hawa dicipta daripada tulang rusuk Adam dan Bible juga menyebutkan perkara yang sama. Kitab Talmud pula menambah bahawa Hawa diciptakan daripada tulung rusuk Adam yang ketiga belas. Tetapi al-Quran tidak menyentuh langsung perkara ini dan hadis-hadis yang dipetik untuk menyokong pandangan ini mempunyai makna yang berbeza dari yang sering difahami. Oleh itu, perkara yang terbaik ialah membiarkan perkara yang tidak dijelaskan seperti yang terdapat dalam al-Quran dan tidak perlu membuang masa bagi menentukan perinciannya.” ( The Meaning of The Quran, jil. 2 hal. 94)

Menurut al-Mawdudi, hadis-hadis Rasulullah s.a.w. tidak menyatakan perkara yang sebagaimana yang tersebar dalam masyarakat Islam iaitu sebenarnya tidak ada satupun hadis baginda s.a.w yang menerangkan asal- usul kejadian Hawa.

Kaedah yang sebenar ialah tidak perlu memberatkan diri dalam menentukan perkara yang Allah s.w.t. tidak menyatakan dengan terang dan jelas. Contohnya, apabila Allah s.w.t. menyebutkan cerita tentang bahtera Nabi Nuh tidak perlu bagi kita untuk menentukan apakah saiz dan kapasitinya atau bahan buatannya. Perincian itu bukan menjadi maksud penurunan al-Quran. Apa yang penting ialah menjadikan peristiwa tersebut sebagai iktibar dab pengajaran. Dengan kata lain, al-Quran bukan kitab sejarah atau sains tetapi kitab yang memberi panduan hidup kepada manusia supaya selamat di dunia dan akhirat.

Dalam hal ini Shah Waliyullah menyebutkan dengan jelasnya. Kata beliau ketika mengulas kisah-kisah yang diceritakan oleh al-Quran: “Bukanlah maksud cerita-cerita di dalam al-Quran untuk mengetahui cerita itu sendiri. Maksud sebenarnya ialah supaya pembaca memikirkan betapa bahayanya syirik dan kemaksiatan serta hukuman Allah hasil dari perbuatan syirik itu di samping menenangkan hati orang-orang yang ikhlas dengan tibanya pertolongan dan perhatian Allah kepada mereka” (al-`Fawz al-Kabir Fi Usul al-Tafsir, hal. 138)

Mengapa Berlaku Kekeliruan Tentang Kejadian Hawa Ini?
Ada beberapa faktor mengapa berlaku kekeliruan dalam memahami makna sebenar ayat ini:

1. Berpegang Dengan Riwayat Israiliyyat
Fasal yang kedua di dalam Sifr al-Takwin menyebutkan Hawa diciptakan daripada tulang rusuk kiri Nabi Adam ketika baginda sedang tidur. (Tafsir al-Manar, jil. 4, hal. 268.) Disebabkan ada riwayat dalam kitab-kitab yang dahulu, ahli-ahli tafsir terus menganggap ia sebagai sokongan atau pentafsiran kepada al-Quran. Bagaimana mungkin ayat al-Quran ditafsirkan dengan riwayat Israiliyyat walhal penurunan kitab-kitab nabi terdahulu lebih awal lagi daripada al-Quran. Sepatutnya, kitab yang turun kemudianlah yang menjelaskan kitab-kitab yang terdahulu.

Hadis berkenaan perkara ini mempunyai beberapa versi. Antaranya ialah;
1. Perempuan itu diciptakan daripada tulang rusuk
2. Perempuan seperti tulang rusuk.
3. Perempuan adalah tulang rusuk.

2. Mengkhususkan Keumuman Hadis Tanpa Nas Yang Jelas
Antara kesilapan dan kekeliruan ialah mengkhususkan lafaz hadis yang menyebut perempuan kepada Hawa. Hadis-hadis yang diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. semuanya dengan jelas menyatakan perempuan dalam bentuk tunggal atau jamak dan tidak ada yang menyebutkan Hawa secara khusus. Jelasnya, para pentafsir menyangka wanita dalam hadis tersebut adalah Hawa tanpa berdasarkan kepada nas yang lain yang menentukan makna yang dikehendaki oleh Rasulullah s.a.w. itu.

3. Kesilapan Memahami Kata Sendi Nama Min من
Walaupun perkataan min itu memberi erti “daripada”, “punca sesuatu perkara” atau “sebahagian”, kata sendi nama min juga mempunyai makna lain seperti “untuk menyatakan sebab” dan “menyatakan jenis sesuatu perkara”. Oleh itu, pemakaian huruf ini dalam bahasa Arab adalah luas dan tidak semestinya terikat dengan satu makna sahaja. (lihat, Ibn Hisyam, Mughni al-Labib, jil. 1, hal. 319)

Abu Muslim al-Asfahani mengatakan, maksud menciptakan daripadanya pasangannya ialah menciptakannya dari jenisnya. (lihat Hasyiah Zadah `Ala al-Baidhawi) Ini seperti ayat-ayat al-Quran berikut:

وَمِنْ آَيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآَيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (Surah al-Rum: 21)

فَاطِرُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ جَعَلَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا وَمِنَ الْأَنْعَامِ أَزْوَاجًا يَذْرَؤُكُمْ فِيهِ لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Dialah yang menciptakan langit dan bumi; Dia menjadikan bagi kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri dan menjadikan dari jenis binatang-binatang ternak pasangan-pasangan (bagi bintang-binatang itu); dengan jalan yang demikian dikembangkanNya (zuriat keturunan) kamu semua. Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya dan pentadbiranNya) dan Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. (Surah al-Syura: 11)

وَاللَّهُ جَعَلَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا وَجَعَلَ لَكُمْ مِنْ أَزْوَاجِكُمْ بَنِينَ وَحَفَدَةً وَرَزَقَكُمْ مِنَ الطَّيِّبَاتِ

Dan Allah telah menjadikan bagi kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri dan menjadikan bagi kamu daripada pasangan-pasangan kamu anak-anak dan cucu dan memberikan rezki kepada kamu daripada benda-benda yang baik. (Surah al-Nahl: 72)

Ayat-ayat ini tidak boleh difahami sebagai isteri-isteri kita itu diciptakan daripada diri atau jasad kita tetapi mestilah difahami sebagai “mereka itu dari jenis yang sama dengan kita”.

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ

Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul dari jenis kamu, yang amat berat baginya kesusahan kamu, sangat berharap akan keimanan kamu dan sangat kasih serta menyayangi kepada orang-orang yang beriman. (Surah al-Taubah:128)

لَقَدْ مَنَّ اللَّهُ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ إِذْ بَعَثَ فِيهِمْ رَسُولًا مِنْ أَنْفُسِهِمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آَيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُبِينٍ

Sesungguhnya Allah s.w.t. telah memberikan kurniaan yang besar kepada orang-orang yang beriman ketika Dia mengutuskan seorang rasul kepada mereka dari kalangan mereka sendiri, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, menyucikan mereka dan mengajarkan Kitab dan Hikmah. Sesungguhnya mereka sebelum itu berada di dalam kesesatan yang nyata. (Surah Ali Imran: 164.)

Kedua-dua ayat ini dengan jelasnya menyebutkan Rasulullah s.a.w. yang diutuskan kepada kita adalah dari kalangan manusia yang sama seperti kita bukan dari kalangan makhluk yang lain seperti malaikat.

Dengan itu, hadis ini ditafsirkan sebagai sifat dan perasaan perempuan itu daripada jenis yang mudah bengkok.

عن أبي هريرة عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: (من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فلا يؤذي جاره واستوصوا بالنساء خيرا، فإنهن خلقن من ضلع، وإن أعوج شيء في الضلع أعلاه، فإن ذهبت تقيمه كسرته، وأن تركته لم يزل أعوج، فاستوصوا بالنساء خيرا
Sesiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, maka janganlah menyakiti jirannya dan hendaklah dia menjaga wanita dengan sebaik-baiknya kerana sesungguhnya mereka diciptakan daripada tulang rusuk. Sesungguhnya tulang rusuk yang paling bengkok ialah yang paling atas, jika kamu berusaha untuk membetulkannya kamu akan mematahkannya, jika kamu terus biarkan begitu ia akan terus bengkok. Oleh itu terimalah pesanan supaya menjaga wanita-wanita dengan baik. (Hadis riwayat al-Bukhari no: 4890)

عن أبي هريرة: أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: المرأة كالضلع، إن أقمتها كسرتها.

Perempuan itu seperti tulang rusuk. Jika kamu ingin memperbetulkannya kamu akan mematahkannya. (Hadis riwayat al-Bukhari4889).

Hadis ini telah dikemukakan oleh Imam al-Bukhari di dalam kitab al-Nikah bab berlembut dengan wanita. Tujuan al-Bukhari mengemukakan hadis ini ialah untuk menyatakan sifat fitrah wanita bukannya hakikat kejadian mereka. Apakah tubuh atau jasad wanita akan mudah patah apabila dikasari oleh orang lain? Tentu sekali tidak.

عن أبي هريرة. قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: إن المرأة كالضلع. إذا ذهبت تقيمها كسرتها.

Sesungguhnya perempuan itu seperti tulang rusuk. Jika kamu ingin memperbetulkannya kamu akan mematahkannya. (Hadis riwayat Muslim no: 1468.)

Hadis ini lebih jelas lagi menyatakan sifat perempuan itu seperti tulang rusuk bukan diciptakan daripada tulang rusuk. Penggunakan partikel kaf ك ini bagi menyatakan persamaan antara perempuan dan tulang rusuk. Sementara ayat yang kedua merupakan sudut persamaan antara kedua-duanya.

Kecenderungan Imam al-Bukhari ketika membuat Tarjamatul Bab di dalam Sahihnya, iaitu:

باب: المداراة مع النساء، وقول النبي صلى الله عليه وسلم: (إنما المرأة كالضلع

Bab berlembut dengan wanita dan Sabda Nabi s.a.w.: Sebenarnya perempuan itu seperti tulang rusuk.

Dengan membuat tajuk begini Imam al-Bukhari tidaklah berpendapat bahawa Hawa itu dijadikan daripada tulang rusuk kiri Nabi Adam.

Begitu juga di dalam al-Adab al-Mufrad, Imam al-Bukhari mengemukakan riwayat:

إن المرأة ضلع , وإنك إن تريد أن تقيمها تكسرها

Sesungguhnya perempuan itu tulang rusuk. Jika kamu mahu untuk meluruskannya maka kamu akan mematahkannya. (al-Adab al-Mufrad, no: 747)

Apakah hadis ini menyatakan hakikat perempuan itu sebenarnya tulang rusuk? Tentu sekali tidak. Hadis ini merupakah satu bentuk tasybih atau perumpamaan yang mempunyai nilai balaghah atau retorik yang tinggi di mana perkataan yang menyatakan persamaan tidak digunakan begitu juga sudut keserupaan tidak disertakan. Ayat yang kedua boleh juga dikatakan sebagai bukti bahawa perkataan tulang rusuk tidak difahami secara harfiah.

Sokongan Kepada Penafsiran Ini
Penafsiran min bukan dengan makna punca atau asal-usul sesuatu adalah sesuai hadis berikut:

عن أبي قلابة، عن أنس رضي الله عنه: أن النبي صلى الله عليه وسلم كان في سفر، وكان غلام يحدو بهن يقال له أنجشة، فقال النبي صلى الله عليه وسلم: (رويدك يا أنجشة سوقك بالقوارير). قال أبو قلابة: يعني النساء

Daripada Abu Qilabah daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah s.a.w. berada dalam satu perjalanan. Ada seorang budak yang dikenali dengan Anjisyah menarik unta yang ditunggangi oleh wanita-wanita. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: Wahai Anjisyah! Perlahankanlah kerana yang kamu tarik itu ialah botol-botol kaca. Perawi, Abu Qilabah, berkata: Maksudnya ialah wanita-wanita. (Hadis riwayat al-Bukhari no: 5857.)

Rasulullah s.a.w. menggambarkan wanita sebagai golongan yang lembut dari segi perwatakan dan cukup sensitif. Baginda menyebutkan wanita seperti botol-botol kaca yang mudah pecah jika tidak dijaga dan diberi perhatian.

Kesimpulan
Hadis ini perlu difahami secara balaghah iaitu berdasarkan retorik bahasa Arab. Rasulullah s.a.w. menyampaikan pesanan ini dalam bentuk tasybih (perumpamaan) supaya maksud pesanan difahami dengan lebih mendalam. Tegasnya, supaya pendengar lebih peka dan prihatin bukan memberi perhatian kepada makna harfiah. Rasulullah s.a.w. membuat perumpamaan wanita seperti tulang rusuk bukan bermaksud untuk merendahkan kedudukan mereka tetapi sebagai peringatan kepada kaum lelaki supaya memberi perhatian kepada mereka, melayani mereka dengan baik, mendidik dan menjaga hati mereka. Sama seperti lelaki, wanita sama-sama berperanan untuk menegakkan agama dan menguruskan hal ehwal kehidupan.

Dengan pemahaman yang betul tentang hadis-hadis ini maka tertolaklah anggapan bahawa wanita adalah dari kelas kedua kerana kononnya dijadikan daripada orang lelaki iaitu Adam!


Doa untuk Ibu Bapa

Ya Allah,
Rendahkanlah suaraku bagi mereka
Perindahlah ucapanku di depan mereka
Lunakkanlah watakku terhadap mereka dan
Lembutkan hatiku untuk mereka.........

Ya Allah,
Berilah mereka balasan yang sebaik-baiknya, atas
didikan mereka padaku dan Pahala yang besar atas
kesayangan yang mereka limpahkan padaku,peliharalah
mereka sebagaimana mereka memeliharaku….

Ya Allah,
Apa sahaja gangguan yang telah mereka rasakan atau
kesusahan yang mereka deritakan kerana aku, atau
hilangnya sesuatu hak mereka kerana
perbuatanku,jadikanlah itu semua penyebab susutnya
dosa-dosa mereka dan bertambahnya pahala kebaikan
mereka dengan perkenanMu ya Allah,
hanya Engkaulah yang berhak membalas kejahatan dengan
kebaikan berlipat ganda.

Ya Allah,
Bila magfirahMu telah mencapai mereka sebelumku,
Izinkanlah mereka memberi syafa'at untukku.
Tetapi jika sebaliknya, maka izinkanlah aku memberi
syafa'at untuk mereka,sehingga kami semua berkumpul
bersama dengan santunanMu di tempat
kediaman yang dinaungi kemulian-Mu,ampunan-Mu serta
rahmat-Mu..........

Sesungguhnya Engkaulah yang memiliki Kurnia Maha
Agung, serta anugerah yang tak berakhir dan Engkaulah
yang Maha Pengasih diantara semua pengasih.

Amin Ya Rabbul Alamin.. 




 
Refleksi diri:

Marilah kita kenangkan dosa kita kepada orang tua
kita. Siapa tahu hidup kita dirundung nestapa kerana kederhakaan kita.
Kerana
kita menghisap darahnya, tenaganya, airmatanya, keringatnya.

Istighfarlah,Istighfarlah...

Barangsiapa yang matanya pernah sinis melihat orang
tuanya. Atau
kata-katanya sering mengguris hatinya, atau yang
jarang memperdulikan
dan mendoakannya.., Percayalah bahawa anak yang derhaka
siksanya didahulukan didunia ini.

Ibu... Ayah... ampunkanlah dosa-dosa anakmu... Redhailah diriku ini…

Mandi Wajib. Mandi Junub (Janabah)

Soalan:

"Salam alaik,,ana ada baca satu buku d library ipbl,,just sekadar nak tambah ilmu pengetahuan..soalan ana,, apakah perbezaan antara mandi wajib dan juga mandi jannabah 
(junub) dari segi caranya, maksudnya ect kerana maklumat yang disampaikan di dalam buku ini tidak berapa jelas pada pemahaman ana..syukran =)."



Jawapan:

Terima kasih kepada adik yang bertanya. Cara perlaksanaan mandi wajib dan mandi junub adalah sama. Rukun kedua-dua mandi tersebut adalah:


1)Niat
2)Meratakan air ke seluruh badan


Perkara yang perlu dijaga semasa mandi wajib ialah:


1)Menghilangkan kesan darah haid dan nifas dengan menggunakan secebis tisu
2)Sunat meleraikan rambut yang panjang
3)Sunat mengikuti cara rasulullah mandi wajib iaitu memulakan dengan membasuh kedua tangan, mencurahkan air dengan tangan kanannya ke tangan kiri lalu membasuh kemaluan sambil berwuduk, seterusnya mengambil air lalu mencucuri pangkal rambut dengan jari. Apabila dirasakan air telah rata sepenuhnya, maka siramilah kepala tiga kali dan meratakan air ke seluruh badan.


Rujukan: DARAH WANITA, PROF MADYA DR.ANISAH GHANI.......


Wassalam.

Friday, February 25, 2011

Mencintai? Memiliki?

Janganlah kau angkuh melaungkan.. .
Si dia kepunyaan mu ...
Atau kau kepunyaan si dia ...
Kerana hakikatnya.. .
Kita tidak pernah memiliki sesiapa...
Walau sekeping hati seorang insan...
Tidakkah kau sedar...
Hukum alam menyatakan.. .
Mencintai tidak semestinya memiliki?...
Manusia pandai berpura ...
Berlakon di pentas dunia...
Dan bertopeng menutup rahsia..
Tetapi hati...
Tidak pernah berdusta pada empunya...
Tentang perasaan yang bergolak di dalamnya...
Tidakkah kau sedar...
Mungkin si dia melafazkan.. .
Ungkapan cinta pada mu ...
Tetapi hati dan perasaannya. ..
Tidak pernah berniat begitu...
Dia hanya berselindung. ..
Di sebalik sejuta alasan...
Dan kau...
Begitu jujur dan setia mencintainya. .
Sehingga terlupa..
Hukum alam menyatakan..
Mencintai tidak bermakna memiliki..

 Sesungguhnya. ..
"Aku tidak pernah memiliki diri mu..."
"Dan kau jua tidak memiliki diri ku."
Mengertilah. ..
Kita sebenarnya kepunyaan..
Yang Maha Esa...
Tiada sesiapa berhak memiliki diri kita...
Kecuali Dia...
Dia mengasihi hamba-Nya...
Dia memiliki hamba-Nya...
Dan ke pangkuan Dia kita akan di kembali.....

Janganlah berbangga apa yang ada pada kita, 
Kalau Allah tidak beri, kita tidak punya apa-apa.


Saturday, February 19, 2011

Lima perkara elok untuk disebut


Nabi Muhammad saw pernah mengingatkan umat-umatnya tentang kelima-lima perkara ini iaitu: 


Perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk
Jangan pernah lupakan Dia yang tidak pernah lupa untuk memberi nikmat kepadamu...
Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia
Dunia hanyalah persinggahan yang sementara...


Perbanyakkan menyebut dan mengingat hal-hal kematian daripada hal-hal kehidupan


Orang yang bijak itu adalah dia yang sentiasa mengingati mati...


Jangan menyebut-nyebut kebaikan diri dan keluarga


Apakah segala kebaikan yang dirimu lakukan itu adalah berpunca darimu??


Jangan sebut-sebut dan nampak-nampakkan keaiban atau keburukan diri orang lain
"Kuman di seberang jalan nampak, gajah didepan mata x nampak"
Pandanglah keburukan dirimu walau kau punyai hanya satu keburukan itu sahaja agar sentiasa engkau menginsafi diri, pandanglah kebaikan temanmu walau dia hanya punyai satu kebaikan itu sahaja agar dirimu tidak pernah melupakan hakikat kejadianmu...

Kami rindu padanya.. :'(

Ya Allah Ya Tuhanku...
Tolong sampaikan salam kami kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW...
Kami amat merinduinya..!
Kami tetap berusaha mengikuti jejak langkahnya..!
Kami tetap berusaha mengingati pengorbanan...pengorbanannya yang telah dilakukan semata-mata kerana umatnya!

Ya Allah Ya Tuhanku...
Masih terngiang-ngiang di telinga kami akan do'a baginda kepada-Mu...
Yang dimana boleh dijadikan amalan kami untuk berdo'a selepas bersujud kepada-Mu...
"Wahai Tuhan yang Maha membolak-balikkan hati hamba-hamba-Nya, tetapkanlah hatiku dengan keimanan kepada-Mu Ya Allah..!!"

Ya Rasulullah...
Semoga di akhirat kelak kita dapat bertemu dengan keadaan yang baik...
Seperti yang engkau harap-harapkan...
Dan berilah kepada kami syafaatmu yang mempercepatkan perhisaban di padang Mahsyar kelak...


AMIN.



Selamat Menyambut Maulidur Rasul 12 Rabi'ul Awal (15 hb Feb 2011)

Sirah itu di hati dan perlu dihayati, bukan sekadar di atas kertas dan di bibir.  
Semoga kita dalam kalangan yang sentiasa mengamalkan sunnah Rasulullah.

Friday, February 18, 2011

Izinkan kami menjadi kuntuman bunga di syurga-Mu

YA ALLAH, 

Izinkan kami menjadi kuntuman bunga yang dihiasi dengan kelopak akhlak mulia, harum wanginya dengan ilmu agama, cantiknya kerana iman dan taqwa..namun keindahan zahirnya disimpan rapi, biar menjadd rahsia yang kekal abadi, bukannya perhatian mata si ajnabi,yg menjadi punca fitnah hati daripada lelaki berjiwa sepi..wajahnya bukan mngundang dosa,tapi menimbulkan duri yg memagari diri agar terpelihara dari noda duniawi yg bakal menghilangkn harum sejati..untuk KAU calonkan kami sbg 'bidadari' SyurgaMU...

InsyaALLAH..Amiin.




Allah telah meminangnya untukku

Pada suatu musim haji Abu Sulaiman Ad Darany pergi ke Makkah untuk menunaikan ibadah haji dan berziarah ke makam Rasulullah SAW di Madinah. Di tengah perjalanan, dia terjumpa dengan seorang pemuda yang bagus dan pakaiannya kemas. Pemuda tersebut memberi salam dan dijawab oleh Abu Sulaiman dan teman-temannya.

"Dari mana anda?" tanya Abu Sulaiman.
"Saya dari Iraq", jawabnya.
"Bolehkah saya pergi bersama rombongan tuan?"
"Boleh".

Maka pemuda itu pun bergabung dengan Abu Sulaiman yang sama-sama ingin menuju ke Makkah. Sepanjang perjalanan pemuda tersebut sentiasa membaca Al-Quran dan bila berhenti istirehat pula terus mengerjakan solat. Pada waktu siang dia berpuasa dan waktu malam diisinya dengan solat,zikir dan munajat kepada Allah.

Di kala orang lain sedang rehat atau tidur dia terus beribadah tidak henti-henti. Begitulah kebiasaan pemuda itu yang dikerjakannya sampai ke Makkah. Dia Kelihatan tidak letih atau malas bahkan dari hari ke hari semakin rajin dan giat sehingga orang yang melihatnya merasa kagum.

Setelah beberapa hari berjalan sampailah Abu Sulaiman ke tanah suci Makkah dan masing-masing sibuk dengan urusan mereka. Begitu juga dengan pemuda salih itu akan berpisah dengan Abu Sulaiman. Namun sebelum berpisah, Abu Sulaiman sempat bertanya kepadanya mengenai kerajinannya.

"Wahai anakku, aku lihat engkau begitu giat melakukan ibadah tidak kenal letih. Apakah yang mendorong engkau berbuat demikian?" tanya Abu Sulaiman.
"Wahai Abu Sulaiman jangan mencaci aku dalam perkara ini. Sesungguhnya aku telah bermimpi di dalam tidurku aku melihat bangunan-bangunan syurga yang diperbuat dari batu-bata emas dan perak. Aku lihat pula di dalam istana iru bidadari-bidadari yang sangat cantik, tidak pernah aku lihat wajah secantik itu sebelumnya. Salah seorang di antara mereka tersenyum kepadaku dan berkata : "Wahai pemuda ! Bersungguh-sungguhlah engkau kerana Allah telah meminangku. Aku berharap agar aku akan menjadi milikmu dan engkau menjadi milikku." 
Setelah itu aku pun terjaga.

Demikianlah si pemuda menceritakan mimpinya yang sangat menarik, dan mimpi itu pulalah yang membuatnya begitu bersungguh-sungguh, tidak kenal letih dalam beribadat kepada Allah. Kerana barang siapa yang bersungguh-sungguh dia akan dapat.

Setelah mendengar kisah tersebut, Abu Sulaiman menjadi tertarik dan memintanya agar mendoakan untuk dirinya. Kemudian dia pun pergi.

Abu Sulaiman mencaci dirinya. Jika orang yang mencari bidadari bertungkus lumus demikian rupa menghabiskan masa dan tenaga untuk memperolehi yang dikehendakinya, bagaimana lagi orang yang ingin MENCARI TUHAN KEPADA BIDADARI TERSEBUT?.


P/S : adakah kita siap untuk mencari Allah?



Jika anda seorang wanita

Jika anda seorang WANITA, carilah LELAKI yang mempunyai sifat-sifat berikut.

1. Kuat amalan agamanya. Menjaga solat fardhu, kerap berjemaah dan solat pada awal waktu. Auratnya juga sentiasa dipelihara dan memakai pakaian yang sopan. Sifat ini boleh dilihat terutama sewaktu bersukan.

2. Akhlaknya baik, iaitu seorang yang nampak tegas, tetapi sebenarnya seorang yang lembut dan mudah bertolak ansur. Pertuturannya juga mesti sopan, melambangkan peribadi dan hatinya yang mulia.

3. Tegas mempertahankan maruahnya. Tidak berkunjung ke tempat-tempat yang boleh menjatuhkan kredibilitinya.

4. Amanah, tidak mengabaikan tugas yang diberikan dan tidak menyalahgunakan kuasa dan kedudukan.

5. Tidak boros, tetapi tidak kedekut. Tahu membelanjakan wang dengan bijaksana.

6. Menjaga mata dengan tidak melihat perempuan atau lelaki lain yang lalu lalang ketika sedang bercakap-cakap.

7. Pergaulan yang terbatas, tidak mengamalkan cara hidup bebas walaupun dia tahu dirinya mampu berbuat demikian.

8. Mempunyai rakan pergaulan yang baik. Rakan pergaulan seseorang itu biasanya sama.

9. Bertanggungjawab. Lihatlah dia dengan keluarga dan ibu bapanya.

10. Wajah yang tenang, tidak kira semasa bercakap atau membuat kerja atau masa kecemasan.



 

"Wanita solehah penyejuk hati"

Islam memberi jaminan terhadap kebahagiaan kaum wanita. Mereka diberikan hak-hak untuk menentukan samada menerima atau menolak calon suaminya. Tidak seorang pun yang boleh memaksa kaum wanita untuk menentukan calon suaminya, kerana kehidupan berumahtangga tidak bolah didirikan atas dasar paksaan....

"Wanita Solehah Penyejuk Hati"

Islam memberi jaminan terhadap kebahagiaan kaum wanita. Mereka diberikan hak-hak untuk menentukan samada menerima atau menolak calon suaminya. Tidak seorang pun yang boleh memaksa kaum wanita untuk menentukan calon suaminya, kerana kehidupan berumahtangga tidak bolah didirikan atas dasar paksaan....

Islam memberi jaminan terhadap kebahagiaan kaum wanita. Mereka diberikan hak-hak untuk menentukan samada menerima atau menolak calon suaminya. Tidak seorang pun yang boleh memaksa kaum wanita untuk menentukan calon suaminya, kerana kehidupan berumahtangga tidak bolah didirikan atas dasar paksaan.

Allah swt , memberikan setiap perkahwinan itu dengan rasa kasih sayang dan rahmah. Tentu sahaja cinta, kasih sayang dan rahmah tidak akan ada jika perkahwinan itu dilaksanakan dengan paksa. Rasulullah saw bersabdaa maksudnya : "Mintalah pendapat kaum wanita dalam masalah mereka sendiri, janda menentukan dirinya sendiri, sedangkan diamnya gadis menandakan persetujuannya"(HR Tabrani)

Cara yang paling tepat untuk memilih suami yang baik iaitu dengan mengetahui latar belakang kehidupannya. Di zaman Rasulullah saw, untuk mengetahui keadaan calon suami, orang tua atau wali akan bergaul langsung untuk mengenali lelaki tersebut. Umpamanya Rasulullah saw tidak memilih Ali untuk puterinya Fatimah, kecuali baginda mengetahui akhlak dan agamanya.

Islam juga membolehkan kaum wanita menawarkan dirinya kepada lelaki yang soleh. Sikap seperti ini tidak salah kerana bertujuan ingin mendapatkan keredhaan Allah swt dan untuk memperolehi pahala daripadanya samada apakah tawarannya itu diterima ataupun sebaliknya.

Anas ra berkata : Ada seorang wanita yang datang menawarkan dirinya kepada Rasulallah saw dan berkata : Ya Rasulullah saw apakah baginda memerlukan aku?. Puteri Anas ra yang ada di situ mencela wanita tersebut. Kemudian anas ra berkata kepada anaknya itu : Dia lebih baik daripadamu wahai anakku. Wanita tersebut suka dengan nabi dan menawarkan dirinya. Kerana sikap wanita tersebut tidak melanggar tuntutan agama, maka Rasulullah saw tidak mencelanya, maka baginda menolak tawaran tersebut dengan cara berdiam diri, agar tidak melukakan perasaan wanita tersebut.

Islam juga memberi hak kepada kaum wanita agar menolak pasangan yang dijodohkan untuknya atau yang meminang dirinya. Jika orang tua atau wali sesuka hati memaksa kahwin dengan lelaki yang tidak disukai lantaran akhlaknya yang buruk, maka wanita itu berhak menolaknya.

Anis binti Qatadah mempunyai suami bernama Khanfasa` bin Khaddam yang meninggal dunia dalam Perang Badar. Ayahnya mengahwinkannya dengan orang lain secara paksa. Anis Bin Qatadah menghadap Rasulullah saw dan menceritakan nasibnya itu. Ya Rasulullah, ayahku memaksa aku kahwin dengan pilihannya, sedangkan aku lebih menyukai bapa saudara daripada anak-anakku sebagai pengganti suamiku. Maka perkahwinan itu dibatalkan oleh Rasulullah saw, dan Rasulullah saw merestui perkahwinan Anis dengan saudara suaminya, kerana kepentingan wanita tersebut dan anak-anaknya.

Tidak ada yang berhak memaksa seorang gadis untuk kahwin dengan lelaki yang tidak disukainya. Tetapi jika ayahnya telah memilih untuknya suami yang soleh maka itu lebih baik baginya agar menerimanya. Kerana orang tua selalu menginginkan agar anaknya bahagia, serta memperolehi suami yang bertanggungjawab.

Perkahwinan yang berdasarkan paksaan kadang-kala akan menerima kehancuran kerana di antara suami isteri tidak sayang menyayangi dan tidak saling mencintai. Firman Allah swt maksudnya : 

Dan diantara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan di antara kamu rasa kasih dan sayang.
(Ar-Rum : 21)
Jika kaum wanita atau gadis ingin memilih calon suaminya sendiri, maka janganlah mengikut keinginan nafsu sahaja. Perhatikanlah aspek keimanan dan ketakwaan yang dimiliki oleh calon suami tersebut. Jangan selalu mengutamakan kedudukan dan harta, kerana kedudukan dan harta boleh lenyap bila-bila masa sahaja. Allah akan menjamin kebahagiaan hidup suatu keluarga di dunia ini jika mereka beriman dan bertakwa kepada Allah swt. Firman Allah swt maksudnya: 

Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan kami berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.(An-Nahl :97)
Jangan merasa bimbang jika calon suami tidak mempunyai harta yang banyak. Namun seandainya ia tergolong orang yang bertaqwa dan beramal soleh maka Allah akan memberikan rezeki yang cukup kepadanya. 

Abu Dzar berkata, bahawa Rasulullah saw bernah bersabda maksudnya: Sesungguhnya aku mengetahui suatu ayat, sekiranya orang ramai berpegang teguh dengannya mereka akan hidup makmur. 

Kemudian baginda membacakan ayat tersebut maksudnya : 

Barangsiapa bertaqwa kepada Allah nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberikan rezeki daripadanya arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluannya). Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap sesuatu. (Ath-Thalaq :2-3)
 
Themes by: Simple-Blogskins. Powered by Blogger